FEE EcoCampus Programme
Tiny Forest Workshop
Seramai 5 orang pelajar dengan diiringi oleh 2 orang pensyarah serta seorang staf sokongan telah mengikuti Bengkel Tiny Forest anjuran FRIM (Forest Research Institute Malaysia) dan WWF-Malaysia (World Wide Fund for Nature). Lawatan ini juga turut disertai oleh peserta dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan wakil beberapa buah sekolah dari negeri Melaka. Objektif lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan, informasi dan kemahiran kepada peserta dalam membangunkan sebuah hutan kecik (Tiny Forest) di institusi masing-masing.
Kedatangan kami telah disambut baik oleh pihak FRIM dan WWF-Malaysia dan terus diberi taklimat tentang perjalanan bengkel untuk hari tersebut. Destinasi pertama kami adalah Denai Keruing di Taman Botani Kepong. Semasa menyelusuri denai tersebut, kami diperkenalkan dengan kepelbagaian spesis pokok hutan; antaranya adalah pokok Merbau, Kapur, Jelutong dan sebagainya. Kemudian, kami disajikan dengan sarapan pagi.
Pada pukul 10.30 pagi, Puan Johleen Koh, dari WWF-Malaysia telah memberikan pengenalan berkaitan FEE EcoCampus (LEAF). FEE EcoCampus merupakan program anugerah antarabangsa yang membimbing semua institusi peringkat ketiga dalam perjalanan mereka yang mampan, menyediakan rangka kerja mudah untuk membantu menjadikan kemampanan sebagai bahagian penting dalam kehidupan kampus. Seterusnya, ceramah tentang Pengenalan kepada FRIM Malaysia dan disambung dengan Pengenalan kepada Spesis Pokok Hutan.
Program diteruskan lagi dengan bengkel “How to plant a tree” oleh pihak FRIM. Demonstrasi kaedah menanam pokok hutan dengan betul telah dijalankan disertai amali untuk para peserta. Sebelum program berakhir, kami berkesempatan untuk melawat dan melihat keindahan flora di Denai Razak. Program ini diakhiri dengan minum petang serta sesi fotografi.
Written by:
Ms. Fazida Othman, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (Bangi)
Bengkel FEE EcoCampus Sabah Kali Pertama
WWF-Malaysia dengan kerjasama Politeknik Sandakan Sabah, Rainforest Discovery Centre Sandakan (RDC) dan Sekolah Menengah Muhibbah, Sandakan telah berjaya menganjurkan Bengkel FEE EcoCampus Sabah yang pertama sekali diadakan di Sabah. Bengkel kali ini berlangsung selama dua hari satu malam iaitu bermula dari 28 hingga 29 Jun 2018 dan diadakan di kawasan kampus Politeknik Sandakan Sabah dan Dewan Rainforest RDC.
Bengkel FEE Eko Kampus pada kali ini telah disertai oleh 20 peserta dari Politeknik Sandakan Sabah, Universiti Malaysia Sabah Kampus Sandakan, Kolej Komuniti Sandakan dan 8 orang murid dari kolej lain yang menjalankan program latihan di RDC . Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan Program FEE Eko Kampus yang telah dilancarkan pada tahun 2016 dan Pelaksanaan Metodologi 7 Langkah dalam Program FEE EcoCampus supaya dapat meningkatkan kemahiran, keyakinan diri dan sifat kepimpinan pelajar-pelajar dan siswazah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti alam sekitar serta menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan alam sekitar.
Ketua Penyeleras Program FEE EcoCampus WWF-Malaysia Puan Johleen Koh, Pegawai Program Eco-Schools Cik Mathi Vatani, Mantan Pensyarah Institusi Pendidikan Guru Raja Melewar Negeri Sembilan, Dr. Lee Keok Cheong, Guru Pelatih Institusi Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim Johor, Encik Jerome Khou dan Penyeleras Eko Sekolah SMK Muhibbah, Encik Lam Tee Jye telah menjadi fasilitator kepada peserta-peserta dan berjaya mengendalikan aktiviti-aktiviti bengkel kali ini. Pada masa yang sama juga, mereka juga memberi pengkongsian dalam pelaksanaan dan pengurusan yang berstruktur dalam program-program alam sekitar.
Aktiviti-aktiviti dalam bengkel ini termasuk cara penubuhan jawatankuasa, bagaimana menjalankan kajian mengenai isu persekitaran, penyediaan pelan tindakan, kaedah pemantauan dan penilaian bagi program yang dirancangkan, kaedah program alam sekitar merentasi dengan kurikulum, cara untuk memaklum dan melibatkan orang lain dalam program yang dirancangkan dan, penyediaan polisi, misi, visi atau moto alam sekitar yang dapat dilaksanakan di kampus masing-masing.
Dengan kejayaan program ini, Puan Johleen Koh mewakili pihak WWF-Malaysia amat berterima kasih kepada pelbagai pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Antaranya pihak Politeknik Sandakan Sabah terutamanya Pengarah Politeknik Sandakan Sabah Lt. Kol. Bersekutu (Pa) Tajul Ariffin Bin Mohamed Arif dan, Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Dr Kesavan A/L Ulaganathen yang telah menyediakan kemudahan dan lokasi yang strategik untuk aktiviti-aktiviti semasa bengkel yang dijalankan. Setinggi penghargaan juga kepada Pengetua SMK Muhibbah Encik Jefri Abdul Ahmad yang selalu memberi komitmen dan kerjasama dengan WWF-Malaysia untuk melibatkan guru-guru dan murid-murid SMK Muhibbah sehingga dapat menjadi sebagai rol model dalam bengkel kali ini. Tidak lupa juga setinggi penghargaan kepada Rainforest Discovery Centre Sandakan yang merupakan tonggak WWF-Malaysia di Sabah kerana sentiasa memberi bantuan dan sokongan yang maksimum dalam menjayakan program-program dan bengkel-bengkel yang diadakan di negeri di bawah bayu itu. Beliau juga berharap selepas bengkel ini, banyak Institusi Pengajian Tinggi di Sabah dapat menyertai dan mendaftar untuk mengambil bahagian dalam Program EcoCampus untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti alam sekitar di peringkatan kampus, daerah, negeri, kebangsaan mahupun di antarabangsa.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Puan Bernadette D. Joeman, pengurus Rainforest Discovery Centre dan diikutti dengan sesi gambar. Respon-respon daripada peserta-peserta bengkel kali ini adalah mereka sangat kagum dengan program FEE EcoCampus yang diadakan dan mereka lebih yakin serta bersemangat untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.
Written by:
Mr. Lam Tee Jye, SMK Muhibbah (Sandakan)